fbpx

Usop sukar tidur malam kerana Lenyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
USOP

SEBUT sahaja nama Usop, pasti ada dalam kalangan khalayak yang masih boleh mengingati kemantapan vokal lontarannya.

Dikurniakan suara serak basah bernada tinggi dan mendayu-dayu, identiti tersebutlah yang pernah memukau ramai peminat satu ketika dahulu.

Berkecimpung dalam dunia glamor sebagai anak seni sejak empat tahun lalu, banyak liku dan onak duri yang terpaksa ditelan anak muda kelahiran Lunas, Kulim, Kedah itu.

Kritikan, hinaan, pujian diselangi kata-kata semangat sudah menjadi asam garam dan sebahagian daripada perkara yang perlu ditelannya. Bukan sahaja buat Usop tetapi siapa sahaja yang bergelar selebriti.

DALAM usahanya kekal relevan dalam industri, Usop sentiasa berusaha keras tampil dengan karya yang boleh diterima ramai.

Menyorot kembali, bakat pemilik nama sebenar Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor itu mula dikesan oleh penyanyi Hazama menerusi program realiti, Mentor Milenia 2017.

Untung sabut timbul, menerusi program tersebut, walaupun tidak dinobatkan sebagai juara, Usop berbangga apabila dipilih sebagai naib juara.

“Alhamdulillah. Saya sendiri tidak menyangka boleh sampai ke tahap akhir. Semua tahu, nak masuk program realiti sebegitu bukannya mudah.

“Syukur sampai ke saat ini, rezeki saya dalam bidang muzik masih lagi ada. Lagu-lagu saya juga masih didengari dan diterima ramai,” katanya memulakan bicara bersama HibGlam.

Gelisah

Menyambung cerita, penyanyi berzodiak Scorpio itu mengakui, walaupun rezekinya agak perlahan dan mengambil sedikit masa, namun ada sahaja yang berpihak kepadanya.

Bermula dengan single pertama berjudul Aku Yang Bersalah ciptaan Haqiem Rusli yang dilancarkan usai tamat Mentor Milenia, namanya semakin dikenali dan menjadi perhatian ramai.

SELEPAS empat tahun bergelar anak seni, Usop kini tampil dengan sebuah lagu baharu berjudul Lenyap yang diluncurkan penghujung Januari lalu.

Kini, dia hadir dengan single berjudul Lenyap yang baru sahaja menyapa pendengar sekitar hujung Januari lalu.

Bezanya kata Usop, pembaharuan yang nyata menerusi Lenyap dapat dilihat dengan jelas menerusi susunan muziknya.

“Lenyap menceritakan kisah seorang yang kehilangan cinta dan berada dalam dilema.

“Sama ada mahu berserah atau terus berjuang, akhirnya dia sedar tidak mampu mengubah apa-apa selain terpaksa reda dengan takdir yang menimpa diri.

“Lagu ini lebih kepada genre pop balada dan merupakan sekuel kepada dua lagu saya yang terdahulu iaitu Aku Yang Bersalah dan Selamanya,” ujarnya.

AKUI jejaka berusia 24 tahun itu, dia akan berasa gelisah dan gementar setiap kali melancarkan sesebuah lagu baharu.

Sama seperti sebelum ini, Usop menyimpan harapan menggunung agar lagu Lenyap diterima pendengar sekali gus dapat mengulangi rekod dan kejayaan lagu-lagu terdahulu.

Dalam erti kata lain, Usop mengakui gelisah dan gementar setiap kali single baharu diluncurkan terutama daripada segi jumlah tontonan video muzik rasmi dalam YouTube.

“Bab ini memang saya akui dan tak boleh sorok. Perkara yang sentiasa mendebarkan semestinya bagaimana penerimaan pendengar terhadap lagu baharu ini.

“Itulah yang kerap membuatkan saya menjadi resah gelisah sampai tak keruan. Boleh dikatakan penangan untuk lagu ini, hampir tiga malam saya sukar hendak tidur.

“Apa pun kritikan, pujian, kata-kata semangat dan komen akan saya ambil dan perbaiki untuk masa akan datang. Tetapi biarlah yang membina dan berpada-pada,” ujarnya.

Tambah Usop, Lenyap merupakan sebuah karya yang membawa dirinya kepada satu tahap yang lain, apatah lagi menampilkan genre berbentuk segar dan moden.

Dicipta khas menerusi kerjasama barisan komposer terkemuka tempatan iaitu Ja’a, Romal, Karim Karam dan Mike Chan, Lenyap diterbitkan Rocketfuel Entertainment bersama Universal Music Malaysia dan Faithful Music.

Bantu keluarga

Memandangkan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dilaksanakan, Usop memberitahu dia kini lebih banyak menghabiskan masa di kampung halamannya, di Kedah.

Usai selesai merakamkan lagu Lenyap penghujung tahun lalu, dia nekad dan ambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi membantu menguruskan perniagaan nasi kandar keluarganya.

TERKESAN akibat pandemik, Usop kini pulang ke kampung halaman di Kedah bagi membantu menguruskan bisnes nasi kandar milik keluarganya.

“PKP memang semua aktiviti seni tidak dapat dijalankan.

“Persembahan, undangan nyanyian, aktiviti promosi semua dibatalkan.

“Jadi setelah berfikir berkali-kali, biarlah sementara waktu ini saya pulang ke kampung dulu untuk bantu keluarga daripada tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Jelas Usop lagi, dia juga aktif menggunakan masa yang ada sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dengan membuat rakaman semula video nyanyian atas permintaan peminat.

Menutup bicara, Usop turut memberitahu ada mendapat tawaran lakonan bagi beberapa buah drama dan sedang menunggu untuk memasuki set penggambaran kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI