fbpx

Ubah suai motosikal RM15,000 membawa padah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pemilik motosikal sedang menggantikan semula ekzos kepada yang asal bagi membolehkannya membawa pulang motosikal tersebut.

PETALING JAYA – Tindakan seorang pemuda berhabis kira-kira RM15,000 untuk mengubahsuai motosikal miliknya akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan dalam satu sekatan jalan raya di ibu negara malam tadi.

Pemilik motosikal jenis Yamaha Y15ZR berusia 28 tahun itu bagaimanapun mempertahankan tindakannya itu dan mendakwa pengubahsuaian yang dilakukannya adalah untuk persediaan memasuki pertandingan ubahsuai motosikal tidak lama lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, itu antara alasan yang sering diberikan pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan mengubahsuai kenderaan tanpa kebenaran.

“Bermula 1 Mac lalu hingga semalam, sebanyak 2,495 kenderaan telah diperiksa menerusi Ops Khas Ubahsuai Ekzos di sekitar ibu negara antaranya di Jalan Bangsar, Jalan Pahang, Jalan Kuching dan beberapa kawasan perumahan.

“Daripada jumlah itu sebanyak 1,400 saman di atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan manakala bagi kesalahan spesifik mengubahsuai ekzos pula sebanyak 79 saman telah dikeluarkan oleh JSPT Kuala Lumpur, 40 saman oleh Jabatan Alam Sekitar dan dan 90 saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya pada satu sidang akhbar di Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee.

Menurut Zulkefly, pihaknya turut menyita sebanyak 84 kenderaan untuk pemeriksaan lanjut dan hanya akan diserahkan semula setelah tindakan menggantikan semula ekzos kepada yang asal dilakukan oleh pemilik.

“Operasi ini diadakan bagi membanteras penggunaan ekzos bising yang menjadi trend semasa golongan muda sehingga mengganggu ketenteraman awam.Tindakan ini (operasi) akan dibuat secara berterusan di kawasan yang kerap mendapat aduan serta menjadi tumpuan ramai.

“Saya ingin menasihatkan kepada pengguna jalan raya terutamanya pengguna motosikal menggunakan ekzos yang asal dan mematuhi peraturan-peraturan jalan raya,” ujar beliau.

Tinjauan Kosmo! di Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee mendapati rata-rata pemilik motosikal yang hadir bagi menuntut semula motosikal turut membawa batang ekzos asal motosikal mereka untuk digantikan semula.

Antara tindakan yang diambil oleh pihak polis menerusi operasi berkenaan adalah tertakluk di bawah Kaedah 103 dan Kaedah 109 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959, Seksyen 60 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI