KUALA LUMPUR- Taktik satu sindiket dadah menggunakan perkhidmatan teksi sebagai medium pengedaran tumpas apabila mereka ditahan polis dalam beberapa serbuan pada 3 Mac lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 58 tahun yang mendalangi sindiket itu.
“Suspek pertama ditahan di sebuah kompleks beli-belah manakala suspek kedua merupakan seorang pemandu teksi dan dua orang lagi ditangkap di sebuah kondominium.
“Pemandu teksi itu bertindak sebagai pengedar di kawasan setempat dengan menyimpan bekalan dadah di dalam bonet kereta miliknya sebelum diedarkan,” katanya di sini tadi.
Katanya, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah antaranya bahan asas heroin, ketamin, syabu, pil ekstasi dan pil eramin 5.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga 10 Mac dan disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952. -K! ONLINE