IPOH – Impian Perak FC untuk menampilkan permulaan yang baik dalam kancah Liga Super 2021 tidak kesampaian apabila diikat PJ City FC tanpa jaringan sebentar tadi.
Kawalan ketat pasukan pelawat menyaksikan anak buah Chong Yee Fatt gagal mempamer persembahan ditambah pelawat tampak bersungguh-sungguh inginkan kejayaan.
Malah tuan rumah seperti ketandusan idea hendak melepasi hadangan anak buah P. Maniam di atas padang.
Malah, keberkesan corak PJ City FC bertahan menyaksikan Perak langsung tidak merembat ke arah gawang mereka pada babak pertama.
Babak kedua berubah corak apabila Perak FC mula mengancam melalui gerakan pantas dan kemas ke kubu lawan.
Bagaimanapun peluang dicipta termasuk satu rembatan yang terkena palang pada minit ke-48 gagal mendatangkan jaringan.
De Paula sepatutnya meletakkan tuan rumah di hadapan tetapi rembatannya melencong ke kiri gawang.
Lima minit kemudian giliran Rafiuddin Roddin mensia-siakan peluang apabila bola rembatannya singgah ke dalam dakapan penjaga gol lawan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Farhan Roslan yang dimasukkan pada minit ke-70 hampir memecah kebuntuan namun pemain dengan jolokan Messi Kedah itu hanya menanduk lemah peluang di hadapan gawang dan tidak berhasil memberikan jaringan.
Pelawat turut berpeluang menjaring gol tetapi gagal disudahkan oleh Darren Yee di minit-minit akhir perlawanan. -K!ONLINE