MADRID, Sepanyol – Seorang penyanyi rap, Aaron Beltran didakwa memotong zakar rakan serumahnya menggunakan pisau dapur sepanjang 30 sentimeter (cm) dengan tujuan menjana pulangan wang di YouTube pada 2019, menurut perbicaraan di sebuah mahkamah di Zaragoza Sepanyol.
Penyanyi berusia 31 tahun itu didakwa memotong zakar ekspatriat Britain, Andrew Breach, 35, dan berniat memuat naik video mengerikan itu di YouTube dengan harapan menerima bayaran antara £173 (RM978) hingga £2,164 (RM12,235) tertakluk kepada jumlah tontonan diterima.
Bagaimanapun, dia dibebaskan selepas mangsa yang merupakan graduan Universiti Oxford memberitahu mahkamah bahawa zakarnya dipotong oleh dirinya sendiri.
Sehubungan itu, Breach berhadapan dengan siasatan kerana dikatakan memberi kenyataan palsu kepada mahkamah, lapor akhbar Daily Star.
Mahkamah tersebut dimaklumkan bahawa pihak polis menemui Breach dalam keadaan pening dan berdarah di sebatang jalan di luar flatnya pada 8 Mac 2019.
Pihak polis kemudian menemui organ lelaki tersebut di kediamannya dengan menjejaki darah Breach.Zakar tersebut berjaya disambung semula dalam satu pembedahan.
Pendakwa raya negeri, Asuncion Lozada berkata di mahkamah: “Telah dibuktikan bahawa walaupun mangsa menukar kenyataannya, rakan serumahnya yang juga satu-satunya tertuduh bersetuju memotong zakarnya.
“Dia lakukannya demi wang dan tidak bermotifkan altruistik,” katanya. – Agensi