HASRAT peminat-peminat bola sepak tanah air hadir ke stadium memberikan sokongan padu kepada pasukan kegemaran masing-masing yang kini bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendedahkan, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha untuk membolehkan kemasukan ‘pemain ke-12’ ke stadium selepas ini.
Ia selepas beliau berpuas hati dengan pematuhan gelembung sukan Liga Malaysia ketika turun padang menyaksikan aksi Liga Super antara Penang FC dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam kelmarin.
“Saya cukup optimis komitmen ini akan memberi keyakinan penuh kerajaan bahawa sukan boleh dijalankan dengan selamat sekiranya pematuhan SOP (prosedur operasi standard) diberikan keutamaan.
“KBS sedang berusaha untuk membolehkan ‘pemain ke-12’ dapat masuk ke stadium secara berperingkat, sekurang-kurangnya 10 peratus kapasiti atau 4,000 orang untuk permulaan ini. Saya yakin usaha ini akan mendapat pertimbangan kerajaan.
“Kita rindu sorakan pembakar semangat mereka (penyokong) pada setiap kali perlawanan diadakan,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook peribadinya semalam.
Sebagai rekod, Penang FC berjaya mengutip tiga mata pertama selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas The City Boys hasil gol tunggal David Rowley pada minit ke-29.