LONDON – Juara dunia Formula Satu (F1), Sebastian Vettel yakin Mick Schumacher tidak berdepan masalah untuk mendapatkan keserasian dengan cepat selepas diberi peluang untuk bersaing dalam perlumbaan tersebut musim ini.
Anak kepada juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher dijangka mampu melakukan kejutan bersama pasukan Haas pada musim ini selepas dipanggil menyertai pasukan tersebut bukan atas tiket simpati.
Pada tahun lalu, Mick muncul juara dalam saingan Formula Dua (F2) selepas meraih lapan podium termasuk dua kemenangan dalam saingan tersebut sekali gus dipanggil menyertai pasukan Haas pada musim 2021.
“Mick adalah seorang pelumba yang berbakat dan dia cepat belajar untuk menyesuaikan diri dengan jentera. Dia sangat matang dan saya yakin dia tidak berdepan masalah ketika melangkah ke perlumbaan ini.
“Dia (Mick) berjuang untuk mendapat kepercayaan ramai pihak dan dia layak untuk mendapat tempat bersama pasukan Haas pada musim ini. Bagi saya ia merupakan permulaan terbaik bagi kariernya.
“Untuk tahun pertamanya dalam saingan F1, anda tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan biarkan dia lakukan kerjanya. Saya yakin dia mampu melakukannya,” tegas Vettel.
Pelumba berusia 21 tahun itu memenangi gelaran Formula Tiga (F3) pada 2018 dan selepas itu Mick menyertai Akademi Pemandu Ferrari pada 2019. Mick membuktikan dia pelumba berbakat apabila memenangi saingan F2 pada musim 2020. –AGENSI