PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyediakan suntikan modal perniagaan yang dikenali sebagai MyKasih Kapital dengan modal maksimum RM1,000 kepada sekurang-kurangnya 2,000 penerima berkelayakan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insentif tambahan kepada insentif sedia ada itu disediakan antara lain untuk kegunaan dalam bidang e-dagang ataupun dropship.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menubuhkan Skuad WAJA yang dibentuk melalui penyertaan komuniti wanita yang akan turut memberikan sokongan psikososial dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah.
“Penubuhan skuad ini bagi menghentikan keganasan terhadap wanita, serta memperkasakan pengetahuan umum mengenai hak-hak wanita,” katanya semasa menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Wanita 2021 di Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia melihat kesesuaian pemerluasan kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.
Beliau berkata, ini bagi menggalakkan ‘shared responsibility’ dan membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja.
“Selain itu, saya juga telah meminta dikaji sekiranya kemudahan BDR ini dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan bagi membolehkan mereka menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan kematian yang lazimnya memerlukan masa agak lama untuk diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut menyambut baik cadangan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun supaya Model Pemerkasaan Wanita menjadi pemacu pembangunan wanita di negara ini.
“Saya menyeru semua pihak untuk sama-sama mengembleng tenaga dalam menjayakan agenda ini agar semua wanita dapat diperkasakan secara inklusif.
“Dengan inisiatif ini lebih ramai wanita bangkit mendepani cabaran semasa,” katanya. -K! ONLINE