fbpx

Hidupkan amalan jaga tepi kain orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ATIKAH DALI, PENGARANG BERITA

Terkejut, sedih dan marah.

Itulah reaksi bercampur baur masyarakat berhubung kes kematian tragis seorang kerani wanita yang mayatnya disumbat dalam tong di Kota Tinggi, Johor pada minggu lalu.

Bermula daripada laporan polis pada 1 Mac lalu yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai orang hilang kemudiannya membawa kepada pembongkaran kes pembunuhan kejam.

Kejadian ini mengejutkan orang ramai kerana suspek yang terlibat dalam kejadian dipercayai orang yang terdekat dengan mangsa.

Seorang lelaki bergelar suami sepatutnya melindungi isteri, namun bertindak sebaliknya dengan melakukan sesuatu di luar batasan terhadap ibu kepada dua darah dagingnya yang masih kecil sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat.

Apa yang memilukan, mangsa diperlakukan tanpa belas kasihan apabila ditembak pada jarak dekat semasa tidur berikutan penemuan beberapa butir logam timah di dada dan perutnya.

Mayat wanita itu kemudian disumbat dalam tong. Ada jiran melihat suspek membawa keluar tong pada awal pagi sebelum mayat mangsa dibawa ke ladang kelapa sawit 30 kilometer dari rumahnya untuk ditanam bagi melupuskan bukti.

Seperti peribahasa bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru, kes pembunuhan itu berjaya dibongkarkan oleh pihak polis dalam masa singkat.

Sebelum kejadian, pasangan itu baik mangsa mahupun suspek memuat naik status dan perkongsian di media sosial sejak tahun lalu yang menggambarkan mereka berdepan masalah rumah tangga.

Konflik yang timbul dalam rumah tangga sekiranya tidak ditangani dengan betul dan dibiarkan berlarutan boleh memberi kesan kepada emosi pasangan.

Lebih teruk lagi sampai ke kemuncaknya yang boleh membuka ruang apabila melakukan kekerasan fizikal ke atas pasangan yang dikhuatiri boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Keganasan rumah tangga bukan hanya terjadi kepada golongan bawahan dan yang bermasalah, malah ia berlaku tanpa mengira latar belakang termasuk golongan profesional, menurut laporan Pertubuhan Pertolongan Wanita Malaysia.

Ia bukan berkaitan masalah kewangan, tetapi lebih kepada rasa ego dan mahu menunjukkan kuasa lelaki kepada pasangan masing-masing.

Bukan sesuatu yang tabu sekiranya berkongsi masalah yang dihadapi dengan orang sekeliling. Bagi mangsa, usah malu dan terlalu memikirkan pandangan orang sekiranya mahu meluahkan sesuatu.

Orang di sekeliling seperti ahli keluarga jiran dan kawan rapat juga perlu memainkan peranan.

Mungkin amalan jangan menjaga tepi kain orang perlu diletakkan ke tepi pada masa kini, lebih lebih lagi orang di sekeliling kita berada dalam keadaan memerlukan dan akan membawa mudarat sekiranya tidak dibantu.

Menjaga tepi kain tidak sama seperti membawang, istilah baharu bagi mengumpat.

Jika tidak kita, siapa lagi. Jangan sampai menyesal di kemudian hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI