MUNICH – Penyerang sensasi Bayern Munich, Robert Lewandowski tampil cemerlang apabila meledak hatrik dalam kemenangan 4-2 ke atas seteru tradisi, Borussia Dortmund pada aksi Bundesliga di Allianz Arena awal pagi semalam.
Kecemerlangan itu turut menyaksikan Lewandowski, 33, terus melebarkan penguasaan sebagai penjaring terbanyak Bundesliga musim ini dengan 28 gol, sembilan jaringan mengatasi penyerang Eintracht Frankfurt, Andre Silva di tempat kedua.
Lebih menarik, ia turut membuktikan kemampuan Bayern sememangnya sukar ditandingi meskipun ketinggalan dua gol kepada Dortmund menerusi dua jaringan Erling Braut Haaland seawal minit kedua dan sembilan permainan.
“Kami terkejut apabila Dortmund mendahului dua gol dalam tempoh 10 minit pertama. Namun, kami lebih berhak memenangi perlawanan ini berdasarkan dominasi ditunjukkan sepanjang 60 minit terakhir permainan,” kata ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick.
Selain tiga gol Lewandowski pada minit ke-26, 44 dan 90, satu lagi jaringan Bayern dalam perlawanan itu diperoleh menerusi Leon Goreztka ketika aksi berbaki dua minit untuk tamat.
Pengendali Dortmund, Edin Terzic mengakui, kecewa dengan kegagalan anak-anak buahnya mengekalkan momentum sama selepas meledak dua gol awal untuk sekurang-kurangnya cuba membawa pulang satu mata dalam perlawanan itu.
“Kami tidak cukup bagus walaupun bermula cemerlang dengan dua gol. Kami bukan sahaja gagal mempertahankan kelebihan itu, malah terpaksa akur pulang dengan tangan kosong hari ini (awal pagi semalam),” jelasnya.
Ia juga memberi bayangan skuad juara Eropah itu dijangka tidak berdepan masalah mempertahankan kejuaraan Bundesliga musim ini buat kali kesembilan berturut-turut meskipun cuma berkelebihan tiga mata dengan pasukan tangga kedua, RB Leipzig. – AGENSI