GUA MUSANG – Polis berjaya membongkar kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan melombong bitcoin sehingga Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian sebanyak RM2.5 juta dalam tempoh setahun di sekitar bandar Gua Musang awal bulan ini
Kegiatan itu dijalankan di enam buah premis rumah kedai iaitu tiga di Bandar Utama dan satu premis masing-masing di Bandar Baru, Wisma Sri Galas dan Taman Sri Cindai di sini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sindiket melombong bitcoin itu dikesan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman serta JSJK IPK Kelantan pada 3 dan 4 Mac lalu
Katanya, polis telah menjalankan serbuan di premis tersebut apabila TNB mengesan terdapat penggunaan elektrik yang tinggi di enam premis terbabit.
“Semalam mendapati premis terbabit dipercayai beroperasi sejak setahun lalu. Kegiatan itu pertama kali dikesan di Kelantan dengan modus operandi menyewa premis bangunan sebelum membuat penyambungan elektrik secara haram.
“Hasil pemeriksaan turut merampas 363 unit mesin melombong bitcoin di premis rumah kedai terbabit yang bernilai RM500,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini.
Menurut Shafien, dalam serbuan itu, seramai tiga suspek warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an turut ditahan dan kini direman sehingga 9 Mac ini.
Ujarnya, siasatan juga mendapati satu unit mesin melombong bitcoin itu mampu menjana wang bernilai sebanyak RM300 sebulan.
Katanya, meskipun meraih keuntungan, kegiatan sindiket itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada TNB tetapi ia juga ditanggung oleh pihak kerajaan dan rakyat yang terganggu dengan penggunaan elektrik. – K! ONLINE