KLANG – Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) mengesyorkan cadangan supaya menetapkan 67 kerusi bagi calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengasasnya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan mengemukakan syor itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh terdekat.
“Inisiatif COMWEL mahu mencadangkan kepada SPR supaya mempertimbangkan untuk menetapkan 30 peratus kerusi wanita dalam PRU nanti.
“Itu bukannya sukar untuk dilakukan iaitu hanya sebanyak 67 kerusi dan lebih ramai kaum wanita harus diletakkan dalam Kabinet,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian COMWEL itu di sini, hari ini.
Terdahulu, majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang
melancarkan buku hasil penulisan pertama Zuraida, ‘Wanita Berdaya, Harapan Negara’.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan penubuhan COMWEL bertujuan menghimpunkan kepimpinan wanita tempatan dalam memperjuangkan agenda pemberdayaan dan pengarusperdanaan gender secara bersistematik serta holistik.
“COMWEL merupakan satu pertubuhan yang bergerak melangkaui batasan politik dan dianggotai pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang politik, agama dan bangsa.
“Keanggotaannya terbuka kepada semua wanita termasuk pemimpin daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perkhidmatan awam dan sektor swasta,” katanya.
Sementara itu, Azhar memberitahu, cadangan berkenaan diakui bukan mudah dilaksanakan biarpun jumlah perwakilan wanita di Parlimen hanya 14 peratus ketika ini.
“Namun, masih ada langkah tambahan boleh dibuat sekiranya kerajaan bersetuju untuk memberi insentif kepada parti politik yang mencalonkan lebih ramai wanita.
“Sebagai contoh, ia melibatkan insentif kewangan untuk pembangunan wanita dalam parti politik berkenaan,” katanya. – K! ONLINE