PAMPLONA, Sepanyol – Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman menggesa anak-anak buahnya mengekalkan momentum semasa dalam usaha memburu kejuaraan La Liga musim ini selepas berjaya mencatat kemenangan liga ketiga berturut-turut.
Kejayaan terbaharu itu hadir selepas menewaskan Osasuna 2-0 di Stadium El Sadar awal pagi semalam hasil jaringan daripada Jordi Alba dan Ilaix Moriba pada minit ke-30 serta 83.
Kemenangan tersebut menyaksikan Barcelona mengekalkan kedudukan tangga kedua dan cuma ketinggalan dua mata di belakang pendahulu La Liga, Atletico Madrid dengan baki 12 perlawanan sahaja lagi musim ini.
“Saya akui ini bukan salah satu perlawanan terbaik kami tetapi saya gembira kerana masih berupaya mencatat kemenangan.
“Paling penting sekarang adalah pemain perlu memastikan rentak kemenangan ini dapat diteruskan jika mahu terus berada pada landasan tepat memburu kejuaraan liga.
“Dalam masa sama, kami juga mengharapkan Atletico akan terus tercicir mata seperti dilakukan mereka dalam beberapa perlawanan lalu. Ia akan membolehkan perebutan kejuaraan terbuka sehingga akhir musim,” kata Koeman.
Peluang The Catalan bergelar juara dilihat cerah kerana mereka dijadualkan menentang tiga lawan mudah seperti Huesca, Real Sociedad dan Real Valladolid sebelum berdepan musuh tradisi, Real Madrid dalam empat perlawanan liga selepas ini.
Bagaimanapun, Barcelona terlebih dahulu perlu memberikan fokus terhadap aksi timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain di Parc des Princes awal pagi Khamis ini. – AGENSI