KOTA BHARU – Seorang lelaki warga emas yang mengaku sebagai golongan kerabat Diraja Kelantan ditahan selepas terlibat dengan kegiatan mengurniakan gelaran Datuk palsu kepada syarikat persendirian dalam serbuan di Tanah Merah, minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia 69 tahun itu dipercayai mengaku sebagai golongan kerabat kononnya boleh memberikan gelaran Datuk kepada seorang penjawat awam yang bertugas di Machang baru-baru ini.
Katanya, penjawat awam yang berusia 48 tahun itu turut ditahan oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial selepas menerima maklumat daripada pihak Istana Kelantan.
“Pihak Istana telah menerima maklumat bahawa itu menggunakan status kerabat untuk mendapatkan sumbangan daripada syarikat persendirian sebelum menawarkan gelaran Datuk.
“Lelaki itu dipercayai telah memalsukan dokumen bagi tujuan tersebut dan menggunakan status kerabat diraja bagi mendapatkan sumbangan barangan untuk diagihkan kepada orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut terhadap warga emas itu membawa kepada penemuan sekeping kad yang tercatat gelaran Datuk selain terdapat gambar Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di belakangnya.
Katanya, polis turut merampas empat kad keahlian Istana Balai Besar atas nama individu berbeza, dua keping surat permohonan pejabat Sultan Kelantan dan satu surat rasmi menggunakan logo istana.
“Bagaimanapun, penjawat awam yang dijanjikan gelaran Datuk itu sudah dibebaskan dan akan dipanggil semula sebagai saksi semasa siasatan,” katanya.
Menurut Shafien, suspek kini ditahan reman dan dijangkan akan didakwa di Mahkamah Majistret Tumpat esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan penyamaran, Seksyen 468 Kanun Keseksaan ketana melakukan pemalsuan surat pejabat Sultan Kelantan dan Seksyen 473 Kanun Keseksaan kerana memiliki cop palsu. -K!ONLINE