fbpx

Ular sawa ‘melingkar’ di bahu kanak-kanak dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ular sawa yang melingkar di bahu anak perempuannya yang sedang tidur di atas katil, semalam.

ALOR GAJAH – Seorang suri rumah berdepan detik cemas selepas mendapati seekor ular sawa seberat enam kilogram melingkar di bahu anak perempuannya yang sedang tidur di atas katil sebuah rumah di Kampung Gangsa, Durian Tunggal di sini semalam.

Menurut Nurul Fatehah Amran, 24, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika dia ingin menukar baju anak perempuannya berusia dua tahun yang sedang tidur.

“Anak saya tidur kira-kira pukul 7.15 malam dan kira-kira dua jam kemudiannya saya masuk ke bilik kerana ingin menukar baju dipakainya, tiba-tiba saya ternampak ada satu benda berkilat bercorak batik di bahunya.

“Ketika ingin mengangkat anak, benda itu tiba-tiba bergerak. Dalam keadaan menggigil saya terus angkat anak saya dan berlari keluar memanggil suami dan abang memberitahu ada ular di atas katil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, dia yang bimbang dengan keadaan anaknya terus memeriksa tubuh badan kanak-kanak tersebut dan meluahkan rasa syukur selepas tiada kecederaan.

“Alhamdulillah anak saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Abang saya kemudian telah menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi menangkap ular tersebut yang mungkin datang dari kawasan semak tidak jauh dari rumah kami,” katanya.

Sementara itu Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.40 malam.

“Sepasukan empat anggota telah dikejarkan lokasi untuk operasi kes menangkap ular (KMU) dan setiba di tempat kejadian, kita dapati ular sawa tersebut masih berada di bawah bantal.

“Pasukan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk menangkap ular seberat enam kilogram dengan panjang satu meter itu sebelum dilepaskan ke habitat asal jauh dari kawasan perumahan,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI