PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi penghormatan untuk memasuki Kaabah ketika menunaikan ibadah umrah pada malam Sabtu (semalam) bersama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa tetamu lain.
Detik pembukaan pintu Kaabah, turut dirakam beberapa jemaah yang berkongsi momen itu di media sosial dan ini merupakan kali pertama tetamu memasuki Kaabah sejak lebih setahun lalu.
Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri tiba di Jeddah pada pukul 5.31 petang Sabtu waktu tempatan (10.31 malam di Malaysia) untuk lawatan rasmi ke Arab Saudi.
Muhyiddin adalah ketua negara pertama yang mengerjakan ibadah umrah sejak penularan pandemik Covid-19 sejak Mac 2020.
Ketibaan Perdana Menteri yang diiringi isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz disambut oleh Gabenor Jeddah, Putera Mishaal Majid Abdulaziz Al Saud.
Turut menyambut beliau ialah Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Abd. Razak Abdul Wahab dan isteri, Datin Nor Asimah Petah, serta Konsulat Besar Malaysia di Jeddah, Alauddin Mohd Nor dan isteri, Najwa Hasbullah.
Kunjungan Perdana Menteri ke Arab Saudi adalah sebahagian daripada rangka kerja lawatan rasmi enam hari ke Arab Saudi bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan seterusnya melawat Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Perdana Menteri dan isteri yang siap berpakaian ihram akan menunaikan umrah dan melakukan ziarah di Madinah terlebih dahulu, sebelum memulakan program rasmi di Istana Al-Yamamah di Riyadh pada 9 Mac ini.
Perdana Menteri akan ke UAE dan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum. – K! ONLINE.