KUALA SELANGOR – Hasrat 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia untuk memasuki negara ini secara haram tidak kesampaian apabila ditahan di Jalan Parit 4, Pantai Sungai Burung, Tanjung Karang, semalam.
Kesemua mereka termasuk 11 wanita berusia 23 hingga 49 tahun diberkas dalam tempoh lima jam bermula 7.30 pagi oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 4.
Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Rizal Mohamed berkata, siasatan mendapati mereka memasuki negara ini menggunakan bot daripada Tanjung Balai, Indonesia sebelum mendarat di pesisir pantai Kampung Sungai Burung, Tanjung Karang.
“Mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Tanjung Karang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Jelas beliau, ujian saringan Covid-19 dilakukan terhadap warga asing itu bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM). -K! ONLINE