fbpx

Pelajar tingkatan lima ditahan bawa syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

SEBERANG PERAI – Enam lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan lima ditahan polis bersama sejumlah dadah bernilai hampir RM120,000 selepas melakukan empat serbuan di sekitar Bukit Mertajam, Perai dan Sungai Bakap di sini semalam.

Operasi kira-kira enam jam bermula pukul 6 petang itu membabitkan rampasan dadah jenis methamphetamine atau syabu dan heroin yang keseluruhannya seberat kira-kira 3.3 kilogram (kg).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 17 dan 26 tahun dalam serbuan pertama di tepi jalan di Kampung Permatang Batu di Bukit Mertajam.

“Pemeriksaan lanjut di dalam poket seluar salah seorang suspek dan raga motosikal, polis menjumpai tiga paket kecil dadah dipercayai jenis syabu keseluruhannya seberat kira-kira 906 g.

“Hasil maklumat suspek tersebut, polis kemudiannya menyerbu rumah kongsi di sebuah tapak pembinaan di Taman Irama, Perai dan menemui enam plastik berisi kira-kira 2.2 kg syabu dan satu plastik disyaki berisi dadah heroin seberat 112 g,” katanya kepada pemberita hari ini.

Shafee berkata, menerusi serbuan ketiga, kira-kira pukul 9 malam, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah flat di Sungai Rambai, Bukit Mertajam.

“Sementara itu, dalam serbuan keempat di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Besar Sungai Bakap, tiga lelaki berusia di antara 20 hingga 23 tahun ditahan bersama 40 paket plastik kecil dadah heroin seberat 31.42 g dan 0.81 g syabu.

“Dua daripada suspek berkenaan didapati positif dadah, manakala tangkapan lain negatif,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI