fbpx

Pasangan kekasih diberkas curi wang tunai dan barang kemas keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas polis menerusi serbuan tersebut.

MELAKA – Sepasang kekasih diberkas polis selepas ahli keluarga membuat laporan mendakwa suspek lelaki telah mencuri wang tunai serta barang kemas milik kakak dan bapanya, semalam.

Suspek lelaki berusia 33 tahun itu berjaya diberkas di rumah keluarganya di Rumah Awam, Bukit Lintang kira-kira pukul 2 petang, manakala kekasihnya yang berusia 44 tahun pula ditahan dua jam kemudian di Taman Seri Duyong, di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh adik kandung suspek berusia 28 tahun, semalam.

“Menurut laporan yang dibuat, kejadian itu bagaimanapun telah disedari ahli keluarganya pada Rabu minggu lalu apabila terdapat kesan potong pada ibu kunci yang dipasang di laci simpanan wang dan emas di ruang makan.

“Bapa pengadu yang curiga dengan kesan tersebut telah membuat pemeriksaan dan mendapati barang diletakkan di dalam laci itu telah hilang serta beberapa buah laci yang berkunci juga telah dipecahkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ujarnya, pengadu yang mengesyaki perbuatan itu dilakukan abangnya sendiri telah menghubungi suspek sebelum lelaki itu mengaku telah mengambil wang tunai serta barang kemas tersebut untuk membayar hutang.

“Suspek didakwa telah melarikan wang tunai berjumlah RM6,000 dan 15 unit barang kemas milik bapa dan kakaknya termasuk subang, gelang, rantai leher ,cincin dan gelang kaki.

“Pengadu juga mendapati kad kredit Hong Leong Bank miliknya telah hilang dan suspek mengakui memberikan kad tersebut kepada kawannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, hasil pemeriksaan di rumah teman wanita suspek turut menjumpai empat resit invois kedai emas, empat resit pembayaran kad kredit, empat bentuk cincin emas dan dua buah loket.

“Kita juga menemukan dua utas rantai leher, sekeping kad kredit Hong Leong Bank dan sebuah pemotong dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 9 Mac, manakala teman wanitanya direman sehari,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dengan niat mencuri. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI