fbpx

Mini Cooper lelaki mabuk lari sekatan polis terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki berusia 48 tahun ditahan selepas melarikan diri dalam keadaan mabuk dengan sebuah kereta Mini Cooper di Butterworth malam tadi.

SEBERANG PERAI – Tindakan seorang lelaki mabuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya mengundang padah apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebuah kereta lain di Taman Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu berlaku apabila suspek memecut keretanya semasa polis mengadakan operasi di Kilometer 10.8 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

Difahamkan, suspek memecut keretanya jenis Mini Cooper sejauh kira-kira lima kilometer sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya yang menjalankan Ops Mabuk cuba menahan kereta itu sebelum suspek berusia 48 tahun cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, kereta suspek terbabas ketika sampai di Taman Robina dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diparkir di tepi jalan.

“Pemandu itu cuba lari, tapi dia berjaya dicekup dan ujian saringan alkohol menggunakan alat SD2+ dan EBA-II mendapati kandungan melebih yang dibenarkan iaitu masing-masing 271 mg/100 ml dan 150 mg/100 ml,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pada operasi itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun selepas didapati menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

Dalam perkembangan berbeza, beliau berkata, polis turut menahan enam lelaki berusia 16 hingga 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di Lebuh Raya itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI