REMBAU – Seorang pekerja ladang disahkan meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan parah selepas kenderaannya terbabas di kilometer enam, Jalan Chembong-Ulu Kanchong, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Tamrin, 58, seorang warganegara Indonesia dikejarkan ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Rembau.
Menurut majikan mangsa, Hussin Ab Ghani, 55, ketika kejadian pekerjanya itu baru meminta izin darinya melalui panggilan telefon untuk pergi memancing di Rantau.
“Sepatutnya arwah kerja petang ini tetapi disebabkan orang yang dijanjinya untuk bekerja tidak jadi datang, dia meminta kebenaran untuk pergi memancing.
“Arwah memandu kereta jenis Proton Saga lama yang merupakan pemberian saya kepada pekerja ladang sejak dua tahun lalu bagi memudahkan pergerakan mereka yang rata-ratanya memiliki lesen memandu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini tadi.
Hussin berkata, arwah yang berasal dari Padang (Indonesia) meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia 12 hingga 22 tahun.
“Saya sudah hubungi isterinya bagi tujuan pengurusan jenazah dan isterinya tidak mahu urusan berkenaan dilewatkan dengan proses penghantaran pulang ke Indonesia sebaliknya mahukan jenazah dikebumikan di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, berdasarkan siasatan awal, kenderaan itu dari arah Rantau menghala ke Chembong.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan sebelah kiri.
“Ekoran kemalangan itu, mangsa yang parah di kepala dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -K!ONLINE