LANGKAWI – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap loji insinerator atau loji pembakaran sampah di sini yang dijangka beroperasi semula dalam masa terdekat dapat menyelesaikan isu pencemaran bau busuk dan lalat di kawasan itu.
Beliau berkata, loji tersebut telah lama dibina di Kampung Belanga Pechah di sini, namun gagal beroperasi dengan baik ekoran masalah teknikal.
“Insinerator di Langkawi ini sudah lama tetapi tidak berjalan (operasi) yang mana ia merupakan satu kegagalan.
“Jadi, kita kena buat baharu yang mana nak pilih (kontraktor) mengambil masa yang panjang,” katanya ketika melawat Loji Insinerator Langkawi di sini hari ini.
Menurutnya, beberapa isu pencemaran berlaku antaranya bau busuk dan lalat terutama di kawasan sungai berhampiran selain pemandangan jelik tapak pembuangan sampah yang sudah membukit di situ.
“Orang marah sangat sebab ada bukit sampah (tapak pembuangan sampah) menyebabkan pemandangan tidak elok selain berbau busuk.
“Ia juga menyebabkan isu lalat yang begitu banyak, saya sendiri pernah naik bot dipenuhi dengan lalat,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap loji insinerator yang telah sekian lama tidak beroperasi itu dapat dikendalikan dengan baik oleh syarikat kontraktor, Drizzle Engineering Sdn. Bhd. dengan menggunakan teknologi dari Korea. – K! ONLINE