SEPANG – Lebih 100 buah rumah melibatkan Zon Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) Utara dan Zon Salak terjejas selepas dilanda ribut akibat hujan lebat yang berlaku pada pukul 4.30 petang semalam.
Kawasan perumahan BBST yang terjejas adalah Taman Seroja dengan 17 buah rumah, Taman Dahlia (19), Aparment Casa Dahlia (28), Taman Mawar Perdana selain Kampung Salak Tengah (7) dan Kampung Baru Pekan Salak (20).
Sementara itu, turut terjejas, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak, SK KLIA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A. Hamid berkata, pihaknya meminta semua penduduk yang rumahnya terjejas segera membuat laporan polis.
“Dalam pada itu, penduduk boleh mengambil gambar dan anggaran berkenaan kerosakan yang terlibat sebagai tindakan awal,” katanya ketika ditemui di Balai Raya Taman Seroja di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seroja, Hairul Azman Razali dan Ahli Majlis BBST Utara, Mohd. Syahrul Amri Mat Sari.
Beliau yang merangkap Pegawai Daerah Sepang berkata, pihaknya akan segera mendapatkan kesemua maklumat penduduk terjejas menerusi kaunter yang dibuka sebagai tindakan awal sebelum dimajukan kepada kerajaan negeri bagi memohon bantuan wang ehsan bencana Negeri Selangor.
“Kerosakan lain yang melibatkan sekolah tadika pula, kita akan majukan kepada kementerian berkenaan untuk bantuan kerajaan pusat.
“Untuk bantuan lain kita kini dalam proses mendapatkan bantuan daripada Pusat Zakat Negeri Selangor setelah maklumat yang diperoleh petang ini,” katanya.
Selain itu, kata beliau, pihaknya turut meminta bantuan agensi dan jabatan lain seperti bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta skuad pantas Majlis Perbandaran Sepang bagi kerja-kerja pembersihan. – K! ONLINE