fbpx

Kopi najis burung jacu bernilai tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BURUNG jacu merupakan sejenis spesies burung yang hidup di Brazil dan merupakan haiwan yang dilindungi di negara itu.

KOPI burung jacu adalah sejenis kopi yang sangat jarang ditemui. Kopi ini dikatakan antara yang termahal di dunia kerana diperbuat daripada biji kopi yang telah dicerna dalam perut burung tersebut.

Berkeluasan 50 hektar, Camocim Estate adalah salah satu ladang kopi terkecil di Brazil tetapi masih berjaya beroleh keuntungan yang lumayan ekoran keunikan kopi jacu.

Perusahaan kopi unik itu bermula pada awal tahun 2000 apabila Henrique Sloper de Araújo menyedari ladangnya dipenuhi burung jacu iaitu spesies burung terancam dan dilindungi di Brazil.

Burung-burung itu sangat gemar memakan tanaman kopi dan sangat menyukai kopi organik yang ditanam di ladang Henrique Sloper.

Pada mulanya, lelaki itu ingin mengusir burung-burung tersebut dari ladang tetapi ternyata tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghentikannya. Burung Jacu hakikatnya dilindungi secara ketat oleh undang-undang, maka dia tidak dapat menyakitinya dengan cara apa pun.

 

NAJIS burung jacu yang mengandungi bijian kopi dipungut lalu dijadikan minuman kopi.

Keadaan itu sungguh membingungkannya sehinggalah tiba-tiba tercetus idea yang membawa keuntungan berlipat ganda dalam perusahaan kopinya.

Mengimbau usia remajanya, dia yang suka meluncur ombak sering ke Indonesia dan dari situ dia diperkenalkan dengan kopi luwak yang merupakan salah satu kopi yang unik.

Justeru, dia berfikir sekiranya Indonesia dapat menghasilkan kopi daripada najis musang, maka perkara sama dapat dilakukan dengan burung jacu.

“Saya sedar, ia bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan pada peringkat awal sehingga saya hampir berputus asa. Cabaran terbesar adalah untuk meyakinkan pemetik kopi bahawa mereka perlu melakukan kerja di luar kebiasaan iaitu mengutip najis burung yang mengandungi biji kopi,” katanya.

Sehubungan itu, Henrique Sloper menjadikan pekerjaan itu seolah-olah pemburuan harta karun apabila pekerja diberikan gaji lumayan untuk mengumpul najis burung dipenuhi biji kopi tersebut.

Jelasnya, mengumpul najis burung jacu adalah proses yang sangat sukar. Ini kerana, selepas itu, pekerja perlu membersihkan biji kopi daripada najis burung dengan menggunakan tangan, lalu mengeluarkan bijian kopi itu daripada kulit pelindungnya.

 

KOPI burung jacu dikatakan mempunyai rasa yang unik dan lazat.

Proses yang kurang menyenangkan inilah yang telah menjadikan kopi jacu lebih mahal berbanding kopi-kopi lain.

Henrique Sloper kemudian memberi penghargaan kepada burung jacu kerana telah menganugerahkannya kopi terbaik.

“Burung-burung jacu ini hanya memilih kopi yang terbaik untuk dimakan. Berbeza dengan kopi luwak yang dicerna musang, biji kopi yang masuk ke dalam sistem pencernaan burung jacu bergerak pantas dan tidak terdegrasi oleh protein haiwan atau asid perut,” ulasnya.

Hasilnya, kopi jacu yang dipanggang dan dibancuh itu mempunyai rasa yang sangat unik dan lazat. Justeru, tidak hairanlah kopi jacu antara yang termahal di dunia dan dijual pada harga AS$1,000 (RM4,070) sekilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI