SELEPAS dibebaskan dengan bayaran ikat jamin RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya pada 15 Disember tahun lalu, penceramah muda Syed Iqmal kembali membuat kemunculan bagi meneruskan kelestarian karier dan hidup.
Syed, 26, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful menjelaskan, dia bangkit mencari kekuatan dan semangat demi penyokong yang menjadi tulang belakang kerjayanya.
Berdepan pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya dan tuduhan merogol seorang wanita (Mahkamah Shah Alam), Syed kini menunggu sebutan kes di Mahkamah Shah Alam pada 16 Mac dan di Mahkamah Petaling Jaya pada 19 Mac ini.
Enggan lagi menjadikan episod hitam yang mencalarkan imejnya sebagai pendakwah sebagai benteng yang membelenggu hidupnya, Syed optimis mengharungi hari-hari mendatang dengan iltizam baharu.
Baru-baru ini, Syed muncul sidang media secara maya sempena pelancaran single baharunya, Ya Habib dan pelancaran jenama sendiri, DYXY Ya Habib Collection.
POSE: Berdepan sebegitu banyak pertuduhan memalukan, apakah yang menguatkan semangat Syed?
SYED: Seperti mana kita tahu ramai diuji seperti tidak dapat beli makanan, susu anak dan sebagainya. Saya pun pernah diuji, jadi saya perlu bangkit. Semangat dan kekuatan itu daripada Allah. Disebabkan itu saya nak menjadi usahawan dan melakar kerjaya sebagai anak seni dengan berkarya dalam kehidupan. Memang susah, tetapi Tuhan yang berikan semangat.
Apakah pengajaran di sebalik musibah yang berlaku?
Apa yang berlaku mengajar saya untuk menghargai mereka yang ikhlas berada di sisi. Contohnya seperti sahabat saya, Ryan Deedat dan beberapa lagi yang sentiasa memberikan kata-kata semangat serta motivasi tanpa diskriminasi.
Saya tahu ramai juga menggunakan kontroversi dan kesempatan itu untuk melonjakkan nama mereka. Ada yang mengutuk ketika saya berada dalam tahanan, namun apabila keluar mereka mendekati saya pula.
Tipulah jika tiada rasa sakit hati, cuma tidak sampai berdendam. Saya cuba positifkan semua. Saya berpegang kepada prinsip orang yang baik ialah orang yang meminta maaf dan orang yang lebih baik ialah orang yang memaafkan.
Apakah inspirasi anda menghasilkan Ya Habib?
Lagu ini ditulis ketika dalam lokap selama 20 hari. Lagu Ya Habib merupakan sebuah lagu bergenre pop elekronik dengan campuran muzik Arab dan Asia yang dicipta oleh Adam Armin, Yusuff Khan, Ryan Deedat dan Adly Kiddy serta lirik hasil nukilan saya sendiri.
Ya Habib bercerita tentang seseorang yang mencari hakikat kebahagiaan tetapi dicemuh, diseksa dan jiwanya meronta-ronta di situlah wujudnya seorang yang digelar sebagai Ya Habib atau guru.
Lagu ini turut menceritakan 1,001 kisah dalam hidup saya. Manakala, untuk video muzik memang ada beberapa babak yang menceritakan semula pengalaman saya sewaktu berada di dalam lokap, saya muntah, anxiety dan banyak lagi.