PETALING JAYA – Pelakon Raja Ilya mendedahkan bahawa dia cuma sempat berjumpa dengan suaminya, Trent Garret sebanyak tiga kali sahaja sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagramnya, Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 35, berkata, selepas berkahwin barulah dia mula mengenali suaminya dengan lebih erat.
“Bersyukur kerana bersama dengan suami yang penyayang. Saya jumpa Trent tiga kali sahaja sebelum kami ambil keputusan untuk berkahwin. Kami lebih mengenali antara satu sama lain selepas mendirikan rumah tangga,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Raja Ilya memberitahu bahawa ibu bapanya turut melalui proses sama ketika mereka berkahwin suatu ketika dahulu.
“Sama macam ayah saya datang merisik bila mak tengah kerja. Nenek datang jemput mak di kilang dan balik rumah terus kena lamar.
“Alhamdulillah, Trent banyak menyokong dan jadikan saya seorang yang terbaik. Dia mahukan saya bahagia dan menjaga penampilan. Perempuan kalau ada inisiatif untuk cantik dan dapat bentuk badan yang lawa, lebih yakin dengan diri sendiri.
“Kuranglah sentap dengan suami, kurang drama suami isteri,” jelas Raja Ilya yang kini menetap di Perth, Australia bersama suaminya.
Pada masa sama, pelakon itu juga memberi pesanan kepada wanita di luar sana yang bergelar isteri supaya sentiasa menjaga penampilan agar sentiasa disayangi suami.
Raja Ilya dan Trent yang juga merupakan seorang ahli perniagaan telah melangsungkan perkahwinan di kediaman suaminya di Perth dalam satu majlis tertutup pada 23 Disember 2018. – K!ONLINE