fbpx

Volvo XC40 Recharge lebih berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENTERA ini didatangkan dengan enjin berkembar untuk pemacuan lebih berkuasa.

VOLVO Car Malaysia baru-baru ini telah melancarkan model XC40 Recharge T5 R-Design seiring dengan cita-cita syarikat itu ke arah mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus, bagi setiap kenderaan.

Melalui inisiatif tersebut, Volvo Car Malaysia kini menjadi satu-satunya jenama automotif di negara ini yang menawarkan kereta pemasangan tempatan (CKD) bagi kesemua barisan kenderaan hibrid plug-in (PHEV) syarikat itu.

Model terbaharu itu dibangunkan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo.

Volvo XC40 Recharge T5 juga merupakan model pertama dilengkapi enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan rangkaian kuasa Drive-E serta motor elektrik yang dipasang pada kotak gear automatik dual klac tujuh kelajuan bagi menggerakkan roda hadapan. Ya, model ini bukan pacuan semua roda.

Pembinaan enjin berkembar ini memberikan pemacuan yang lebih mapan kerana model ini hanya melepaskan 50 gram karbon dioksida setiap kilometer.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Nalin Jain berkata, pihaknya amat teruja kerana akhirnya dapat menawarkan salah satu kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaik sebagai kenderaan elektrik hibrid plug-in dan seterusnya melengkapkan barisan kenderaan PHEV mereka.

SISI tepi Volvo XC40 Recharge T5 R-Design yang menarik dengan rim bersaiz 19 inci yang kelihatan berpadanan dengan kerangka SUV ini.

Katanya, pelancaran XC40 Recharge T5 menandakan Volvo Car Malaysia telah bersedia untuk cara hidup yang lebih hijau pada masa yang akan datang.

“Dengan demikian kami akan terus berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari dan akan memainkan peranan kami bagi mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Tambahnya, dari aspek keselamatan, reka bentuk dan prestasi untuk model ini adalah sama seperti model Volvo yang lain.

“Kami yakin SUV ini memenuhi ciri-ciri yang akan memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

“Pada masa sama, kami berharap pelancaran XC40 Recharge T5 akan memberikan pilihan lebih lestari bagi rakyat Malaysia dan mendorong mereka berfikir supaya sama-sama mengambil langkah aktif untuk lebih mesra alam sehingga kita dapat mengekalkan persekitaran dan masa depan kita,” tambahnya.

Walaupun menggunakan enjin 1.5 liter turbo, model ini turut dikuasakan dengan motor elektrik yang memberi tambahan kuasa sehingga 82hp.

Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, XC40 Recharge T5 ini menggunakan transmisi tujuh kelajuan automatik dual klac. Gabungan dua enjin ini bersama transmisi secara tidak langsung membuatkan model ini lebih berkuasa daripada XC40 varian biasa.

RUANG bahagian pemanduannya kelihatan selesa.

XC40 Recharge T5 yang diperbuat di Sweden dan dipasang di Malaysia turut dilengkapi sistem teknologi keselamatan, akses perhubungan (connectivity) dan infotainment.

Sistem yang sama juga terdapat pada model-model Volvo yang lain.

Ia juga dihasilkan dengan kawalan dan kepakaran berkualiti tinggi yang sama daripada Volvo, dengan meneruskan komitmen mereka untuk mengutamakan keselamatan buat pelanggannya selain memberi mereka kebebasan memandu secara peribadi dan selamat.

Sebahagian teknologi dalam XC40 Recharge T5 termasuklah ciri-ciri keselamatan dan bantuan kepada pemandu seperti sistem Pilot Assist (bantuan pemandu), City Safety, Run-off Road Protection and Mitigation dan Cross Traffic Alert dengan sokongan brek.

Ciri-ciri ini akan membantu meningkatkan keyakinan pemandu selain keselesaan bagi keseluruhan pemanduan yang lebih selamat.
XC40 Recharge T5 menawarkan lima mod pemanduan berbeza untuk pengalaman pemanduan yang lebih dinamik seperti Hibrid, Pure, Off-road, Power dan Individual.

Melalui ciri-ciri ini, Volvo Car Malaysia akan memastikan untuk memberikan kepada pelanggannya kecemerlangan, kebolehpercayaan dan prestasi kereta mewah kepada rakyat Malaysia.

Volvo XC40 Recharge T5 hampir serupa dengan varian XC40 yang lain apabila menampilkan reka bentuk Scandinavia yang elegan dengan mempamerkan imej Volvo dan gabungan penampilan cantik selari dengan keperluan dan fungsinya.

SOKET pengecas PHEV yang terletak di bahagian hadapan kiri.

Mengetengahkan penampilan bergaya dan moden, XC40 yang baharu mengekalkan reka bentuk yang berani dan ekspresif selain menonjolkan hiasan khas trim R-Design.

Kemasan itu membolehkan pemandu lebih menyerlah ketika memandu tanpa bersaing dengan kenderaan lain. SUV ini juga dilengkapi soket pengecas di bahagian hadapan kiri.

Di samping itu, tempat penyimpanan di kabin telah direka semula untuk menyediakan ruang penyimpanan lebih praktikal di bahagian pintu pemandu, termasuk cangkuk yang boleh ditarik untuk menggantung barang.

Penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model ini selama beberapa hari.

Dari sudut luaran tidak jauh berbeza dengan varian lain. Apa yang saya nampak hanya penukaran logo R-Design kepada Recharge, itu sahaja.

Bagi saya reka bentuk sedia ada Volvo XC40 ini sudah sedia tampan. Rekaan rim bersaiz 19 inci juga nampak sepadan dengan SUV ini.

Masuk ke bahagian dalamannya, penulis perhatikan ada beberapa logo Recharge ditampal. Perbezaan paling ketara di ruang but belakang kerana ruang simpanan tersembunyi sebelum ini kini menjadi tempat simpanan bateri.

Memandangkan Volvo menyasarkan XC40 kepada golongan pengguna harian yang mahukan praktikaliti, kekemasan, kecekapan dan paling penting keselamatan, pemanduannya rasa selesa.

Kadar pecutan dari pegun hingga ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 7.3 saat, kurang enam saat berbanding varian 2.0 liter turbo. Namun, kuasa dan tork maksimum SUV ini lebih tinggi berbanding varian 2.0 liter turbo.

Pada penulis, secepat mana pun kelajuan maksimum model ini, ia telah disekat sehingga 180kmj sahaja. Had kelajuan itu telah ditetapkan untuk semua model Volvo setelah pengumuman dibuat syarikat itu pada Mac tahun lalu.

XC40 Recharge T5 dijual pada harga RM255,888, kini dikurangkan menjadi RM241,997.04 selepas pengecualian cukai jualan (atas jalan, tanpa insurans) dan tersedia untuk diperlihatkan di semua pengedar Volvo sah di seluruh negara bermula hari ini.

Volvo XC40 juga boleh ditempah secara dalam talian melalui laman web Volvo Car Malaysia sebagai alternatif yang lebih selamat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.

Pelanggan-pelanggan juga berpeluang untuk memilih lima warna yang berbeza iaitu Blackstone, Crystal White Pearl, Bursting Blue Metallic, Glacier Silver Metallic dan Coral Red Metallic.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI