KUALA TERENGGANU – Dua gol dalam setiap babak memastikan naib juara musim lalu, Terengganu FC (TFC) II menang bergaya 4-0 ke atas pendatang baharu, Projek FAM-MSN di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.
Keputusan itu turut memastikan TFC II menepati ramalan memulakan Liga Premier dengan langkah kanan manakala skuad kendalian Yusri Che Lah pula terpaksa akur gagal menyaingi lawan yang lebih berpengalaman.
Sewaktu permainan baru berusia tujuh minit, TFC II dihidangkan peluang menerusi tandukan Nur Azfar Fikri Azhar hasil umpanan Marcel N’Guessan yang tersasar ke sebelah tepi tiang gol.
Kubu Projek FAM-MSN terus diuji tuan rumah menyaksikan penjaga gol, Al-Iman Wahiey Amir berjaya menepis usaha penyerang tuan rumah, Jordan Mintah pada minit ke-13.
TFC II akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-19 berpunca sepakan percuma pemain pertahanan, Hairiey Hakim Mamat yang melencong masuk ke dalam gol pelawat.
Skuad Projek FAM-MSN kemudian cuba mengimbangi permainan dengan gerakan Azhad Harraz Arman dari sebelah kiri malangnya gagal melepasi pertahanan lawan.
Sebaliknya pintu gol pelawat bolos lagi tiga minit sebelum rehat menerusi sepakan leret Nur Azfar untuk TFC II membawa kedudukan 2-0 ke bilik persalinan.
Kurang seminit bersambung babak kedua, TFC II melebarkan kelebihan hasil tolakan mudah Mohd. Ridzuan Razali yang menerima hantaran Hairiey Hakim dari sebelah kiri.
Percaturan Yusri memasukkan penyerang gantian, Muhammad Hazwan Hassan gagal mengubah nasib pasukannya apabila pertahanan TFC II diketuai Masaki Watanabe terus kebal.
Penyerang tuan rumah, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali melengkapkan kemenangan 4-0 hasil sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan dalam masa kecederaan. – K! ONLINE