GEORGE TOWN – Dua pekerja terpaksa menunggu hampir sejam untuk dibawa turun selepas tersangkut di atas kren pengangkat (skykift) semasa melakukan kerja-kerja pemasangan lampu di Jalan Batu Lanchang, Jelutong di sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu dipercayai berlaku apabila kren berkenaan mengalami kerosakan pada sistem hidraulik dan gagal menurunkan pekerja berusia 18 dan 26 tahun terbabit.
Difahamkan, mereka kemudiannya bertindak menghubungi pasukan MERS 999 bagi mendapatkan bantuan.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Israhanafi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pda pukul 2.19 pagi tadi dan tiba ke lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
Setibanya di tempat kejadian mendapati dua pekerja tersebut masih berada di atas skylift dengan anggaran ketinggian kira-kira 10 meter.
“Tindakan anggota adalah dengan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) bagi membawa turun pekerja tersebut.
“Kami turut berdepan kesukaran semasa kerja-kerja membawa turun mangsa disebabkan berada berhampiran dengan tiang elektrik,” ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
“Mangsa telah berjaya diturunkan dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan kira-kira 20 minit kemudian pada pukul 3 pagi tadi,” katanya. – K! ONLINE