fbpx

Sepi luar biasa Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA ABDUL

“MIMPI itu indah dan percuma.” Satu frasa yang kedengaran klise sering diungkapkan daripada bibir kebanyakan orang, namun tersimpan 1001 kebenaran yang mampu memberi anjakan paradigma pada diri seseorang.

Aina Abdul, seorang anak seni yang bukan sahaja berperanan sebagai penyanyi semata-mata, dia yang juga seorang komposer baru sahaja meluncur dengan satu karya terkini diberi nama Sepi.

Secara peribadi, Sepi merupakan satu lagi karya hebat yang dilahirkan Aina bukan sahaja dalam bentuk muzik bahkan secara visual.

Dari segi komposisi muzik, Sepi kalau dibandingkan dengan single utama Aina yang lain seperti Sumpah dan Semalam, sifatnya sedikit sederhana dalam aspek tersebut. Akan tetapi, langsung tidak mencacatkan perjalanan luahan hati penyanyi berasal dari Jempol, Negeri Sembilan itu.

Penulis tertarik bagaimana Aina memilih untuk memulakan nuansa lagu berkenaan dengan petikan gitar. Kalau dua lagu utama sebelumnya, intro lagu bermula dengan dentingan piano menerusi Sepi, Aina melakukan eksperimentasi menerusi sesuatu yang lain atau baharu.

SELEPAS Sumpah dan Semalam, Aina sekali lagi membuatkan bulu roma merinding tatkala mendengarkan gemersik vokalnya menerusi single terbaharu berjudul Sepi.

Emosi dalam listrik vokal

Nota pertama Aina ‘berbisik’ seperti ingin memberitahu kepada pendengar bahawa hidup ini bukan semuanya indah. Kesepian setiap manusia berbeza-beza jisimnya. Dia barangkali mengekspresikan rasa sepi ke satu bentuk seni terpaling halus yang dipanggil muzik.

Seorang penyanyi yang baik mampu membuatkan pendengar dapat merasai setiap patah perkataan yang dinyanyikannya. Kualiti tersebut ada pada Aina yang bukan hanya hebat dari segi listrik vokal, namun penghayatan dan emosi yang tidak berbelah bahagi.

Bukan sekadar hebat memberi bunyi, Aina dan pasukan berjaya melahirkan muzik video yang direalisasikan dengan cukup bijak. Sangat penting untuk seorang pengkarya bukan sekadar tangkap muat dalam penghasilan muzik video. Perlu ada kepedulian, mesej dan cerita yang hendak disampaikan. Itulah yang dilakukan Aina menerusi Sepi.

Kita semua tahu bahawa bukan mudah buat penyanyi itu untuk mencipta nama di Malaysia. Dahulu dia sering dipinggirkan walaupun mempunyai kualiti vokal hebat.

Perlahan-lahan mengorak langkah apabila mula mencipta portfolio sebagai pencipta lagu, dari situ dia mula menampakkan keselesaan dalam mengerjakan seni. Kini Aina berdiri sama tinggi dengan barisan penyanyi hebat lain.

Sepi kini menjadi satu lagi bukti mengapa nama Aina layak ‘dikompang’ sebagai antara penyanyi terbaik wanita negara masa kini. Buat penulis, selain Sepi nyanyian Yuni Shara, Sepi Aina Abdul merupakan antara antem pilihan yang akan dimainkan tatkala jiwa memerlukan sedikit belaian untuk terus berganjak ke hadapan. Terima kasih Aina Abdul!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI