PETALING JAYA – Pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun melahirkan perasaan sedih atas pemergian seorang wanita yang ditembak suaminya menggunakan senapang angin angkara cemburu.
Menerusi catatan di laman sosial Facebooknya semalam, Asma’ turut mendoakan agar mangsa dikurniakan Husnul Khatimah selain beroleh syurga kelak.
“SubhanAllah, secara peribadi sungguh merasa begitu sayu, apabila melihat antara status terakhir Facebook arwah adalah tiga ceramah siaran langsung saya.
“Bermakna saat-saat akhir hidupnya adalah dalam keadaan beramal soleh, menyebarkan dakwah dan seruan nahi mungkar dan status terakhir pada hari arwah dikatakan hilang adalah tentang solat,” katanya.
Pada masa sama, Asma’ turut menulis beberapa ceramah beliau yang dikongsi arwah di laman Facebook antara bulan Februari dan Mac 2021.
Antara tajuk ceramah itu termasuklah tentang solat, seruan nahi mungkar, surah Al Kahfi selain punca dan solusi keretakan rumahtangga.
“Saat ini saya menangis tak tertahan kerana mendengar suara arwah melagukan hari lahir dan mendoakan anaknya diselamatkan Allah.
“Duhai anak, mungkin itulah lagu yang kamu berdua akan ulang-ulang dengar saat kamu dah dewasa kelak, saat kamu rindukan bonda kamu,” tulisnya sayu.
Selain itu, Asma’ turut mendoakan agar dimakbulkan hasratnya untuk bertemu dengan anak-anak dan keluarga arwah dalam masa terdekat. -K! ONLINE