Oleh ROSALWANI CHE SOH
KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan telah mengemukakan satu kertas cadangan khas kepada kerajaan pusat berhubung pemulihan runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi di Pasir Mas baru-baru ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, kertas cadangan itu diusulkan oleh kerajaan negeri Kelantan untuk kerja-kerja membaik pulih runtuhan tebing termasuk pengambilan tanah di kawasan yang terlibat dengan anggaran kos bernilai RM60 juta.
Katanya, cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 2 Mac lalu itu juga dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
“Ia turut merangkumi pembinaan semula Rumah Pam Saliran Air Muleh termasuk komponen mekanikal dan elektrikal dengan anggaran dengan kos RM 1.5 juta.
“Selain itu, cadangan itu merangkumi bantuan sewa rumah berjumlah RM500 sebulan selama enam bulan kepada semua pemilik rumah yang terlibat dengan perpindahan,” katanya selepas hadir lawatan turun padang ke Tapak Projek Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu di Tunjong di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 17 Februari lalu, 15 keluarga yang menetap di Jalan Pohon Chelagi diarah untuk mengosongkan rumah masing-masing selepas tebing Sungai Kelantan berhampiran kediaman mereka runtuh.-K! ONLINE