fbpx

Keluarga masih belum cam mayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek utama kes bunuh isteri dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, semalam. -Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Ahli keluarga tidak dapat mengecam mayat seorang wanita yang ditembak mati suami menggunakan senapang angin dalam kejadian di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi dekat sini selepas proses pengecaman dijalankan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Md. Yusof Ahmad berkata, mayat wanita berusia 38 tahun itu tidak dapat dicam keluarga termasuk ibu bapanya berikutan keadaan mayat sudah membengkak.

“Oleh kerana mayatnya sudah dilupuskan pihak keluarga mangsa, ibu bapa tidak dapat cam si mati itu adalah anak perempuan dia, walaupun suaminya mengaku itu mayat isteri dia, proses pengecaman itu penting.

“Kita kena tunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dahulu baru kita serah, mana nak tahukan, tiba-tiba itu mayat orang lain,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Dalam pada itu, Md. Yusof turut mendedahkan hasil bedah siasat yang dijalankan terdapat beberapa kesan lebam pada bahagian badan wanita malang itu termasuk bahagian leher dan bawah hidung.

Jelasnya, hasil bedah siasat juga dapat mengesahkan ada kesan tembakan dan beberapa butir logam timah ditemui di beberapa bahagian badan termasuk dada dan perut.

“Pasukan doktor masih lagi menjalankan analisis dan keputusan akhir laporan bedah siasat akan diperolehi dalam masa terdekat,”katanya.

Semalam, Polis Johor mengadakan satu sidang akhbar memaklumkan kejadian bunuh ke atas seorang wanita berusia 38 tahun yang dilakukan suaminya sendiri yang tergamak menembak isterinya dari jarak dekat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 2.30 pagi, Isnin lalu di kediaman pasangan itu di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi dekat sini.

Lebih memilukan mayat wanita itu disumbat ke dalam tong air berwarna biru sebelum ditanam berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Felda Papan Timur, Bandar Penawar kira-kira 30 kilometer dari rumah mereka.

Susulan itu, polis menahan suspek berusia 43 dan rakannya yang berusia 32 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI