PUTRAJAYA – Sebanyak 1,000 kekosongan jawatan dalam sektor perladangan dan industri komoditi ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 yang diadakan secara maya pada 9 dan 10 Mac ini.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) berkata, karnival kerjaya itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai usaha menarik lebih ramai rakyat di negara ini bekerja dalam sektor perladangan yang menjanjikan pendapatan baik.
Menurut KPKK, penganjuran karnival ini bertujuan menarik lebih ramai rakyat negara ini bekerja dalam sektor perladangan yang menjanjikan pendapatan yang baik.
“Karnival kerjaya ini menyasarkan penyertaan seramai 3,000 peserta dalam kalangan warga tempatan dan komuniti Orang Asli dengan menawarkan lebih 1,000 kekosongan jawatan di sektor perladangan dan industri komoditi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 itu akan dirasmikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada 9 Mac nanti.
Majlis perasmiannya boleh ditonton melalui pautan https://bit.ly/3rguSgY mulai pukul 9 pagi manakala pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan https://careerfair.perkeso.gov.my. -K! ONLINE