IPOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak telah mengambil sampel air Sungai Kuang dekat Chemor di sini selepas dipercayai tercemar akibat sisa air kumbahan dari ladang ternakan lembu berhampiran.
Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, sampel air berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan keputusan kualiti air tersebut akan diketahui dalam masa sebulan.
Katanya, sehingga keputusan diterima, penduduk setempat dinasihat agar tidak menggunakan air sungai itu untuk kegunaan harian melainkan bagi aktiviti pertanian.
“Sisa kumbahan dari ladang berkenaan sebenarnya tidak disalurkan terus ke Sungai Kuang sebaliknya di alur air semulajadi yang mengalir masuk ke sungai utama.
“Daripada pemerhatian kita, hanya alur air itu yang tercemar dan Sungai Kuang pada asasnya tidak terjejas dan tiada pencemaran ketara. Namun, kita telah ambil sampel air sungai tersebut untuk diuji,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) di Kampung Ulu Chepor Tambahan di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas tular mengenai pencemaran itu, pihaknya telah melawat ladang ternakan tersebut dan mendapati aduan penduduk setempat berkenaan pencemaran adalah berasas.
Katanya, tindakan segera yang diambil adalah meminta penternak untuk tidak melepaskan sisa kumbahan ke alur sungai sebaliknya ke satu kolam takungan dalam kawasan ladang.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Penduduk Kampung Ulu Kuang, Chemor meluahkan kebimbangan mereka selepas mendapati Sungai Kuang dicemari najis haiwan hingga membantutkan aktiviti mereka.
Malah, dakwa penduduk, ada yang mengalami kegatalan selepas mandi di sungai tersebut selain pendapatan penangkap ikan turut terjejas akibat pencemaran tersebut.-K! ONLINE