fbpx

Jangan biarkan kluster sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

Isnin lalu lebih 1 juta pelajar meliputi prasekolah, tahun satu dan dua di seluruh negara telah memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

Lusa, 8 Mac, kira-kira dua juta pelajar membabitkan tahun tiga hingga enam pula akan mengikuti proses pembelajaran di sekolah.

Tiada lagi sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) akan dilalui pelajar sekolah rendah. Tinggalkan dulu penggunaan gajet dan masalah capaian internet.

Ini bermakna secara keseluruhannya, kira-kira tiga juta pelajar sekolah rendah memulakan rutin menuntut ilmu secara bersemuka di sekolah pada Isnin ini. Di sinilah cabaran sebenar bermula.

Cabaran ibu bapa, guru-guru serta pentadbir sekolah memastikan tiada kluster sekolah wujud selepas ini.

Dengan jumlah pelajar yang ramai, kekangan pembantu mengawal pelajar, ia menjadi cabaran besar buat semua.

Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan SOP jelas mengenai pengoperasian sekolah yang perlu dipatuhi.

Pelajar perlu memakai pelitup muka, melalui pemeriksaan suhu badan, menggunakan pembasmi kuman selain mengamalkan penjarakan fizikal.

Malah, kedudukan di dalam kelas juga dengan jarak satu meter selain tidak digalakkan pembelian makanan di kantin sekolah. Tiada perhimpunan seperti kebiasaannya.

Walaupun masih dihimpit situasi pandemik yang belum reda, langkah itu perlu diambil bagi mengimbangi keperluan akses pendidikan dalam keadaan selamat di samping memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran.

Semua ini telah kita lalui ketika sekolah dibuka sekejap tahun lalu. Melalui SOP ini ibu bapa lega ‘melepaskan’ anak mereka belajar di sekolah.

Bagaimanapun, dalam tempoh lima hari pelajar prasekolah, tahun satu dan dua bersekolah penulis mendapati sudah ada pelanggaran SOP dilakukan.

Pelajar diminta membeli makanan di kantin. Mungkin ada kekangan untuk pihak sekolah mengamalkan konsep makan di dalam kelas, namun bagaimana mahu memastikan mereka mengikut SOP mencegah penularan wabak ketika makan di kantin.

Cikgu-cikgu juga kejar masa untuk makan.

Satu hal lagi, ada ibu bapa yang gagal mengamalkan penjarakan fizikal semasa mengambil anak-anak di sekolah. Ibarat menghadiri konsert masing-masing. Tiada penjarakan kerana mungkin beranggapan mereka ‘kebal’.

Jika sekolah tidak ikut SOP, ibu bapa lantang bersuara, namun jika mereka yang gagal siapa yang patut dipersalahkan.

Berdiri rapat-rapat bersentuh bahu tidak memakai pelitup muka, bukankah lebih mudah jangkitan merebak?

Perlu diingat, jika seorang pelajar tidak sihat, rantaiannya akan jadi lebih besar. Dia tidak boleh ke sekolah, tidak boleh ke rumah transit. Maka, ibu bapa perlu bercuti menjaga mereka. Itu belum lagi jika positif, jangkitan pasti ramai.

Penting untuk kita mematuhi SOP, akur arahan dibuat bagi kekang penularan Covid-19. Janganlah sekolah ditutup lagi kerana kelalaian kita.

Cukuplah pembelajaran secara maya. Biarkan anak-anak ‘bebas’ belajar di sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI