BUKIT GANTANG – Perasaan sedih seorang ibu tunggal di sini tidak dapat diungkapkan apabila hampir 12 tahun menunggu janji pembinaan sebuah rumah baharu bagi menggantikan rumah yang didiaminya sekarang.
Lebih menyayat hati, rumah yang diduduki empat beranak itu sangat uzur dengan keadaan bumbung yang bocor, manakala lantai pula hanya berlapikkan tikar getah di atas tanah.
Menurut Roslinda Abd. Razak, 33, bapanya Abd. Razak Bahari, 68, sebelum ini terpilih untuk menerima pembinaan sebuah rumah di bawah Program Bantuan Rumah pada tahun 2009 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Katanya, janji tersebut dibuat bagi menggantikan rumah uzur yang didiami sekarang, namun sehingga kini tiada pihak tampil menunaikannya.
Tambah Roslinda, rumah yang diduduki sekarang ibarat menunggu masa untuk menyembah bumi apabila bocor teruk dan ada anai-anai.
“Rumah ini tiada bilik. Ayah akan tidur di ruang tamu, saya serta anak lelaki berusia empat tahun dan adik bongsu akan tidur di bahagian dapur.
“Di dapur juga tempat memasak selain menjadi bilik tidur kami. Lantai pula tidak bersimen dan hanya berlapikkan tikar getah di atas tanah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Matang Merbau, Sungai Tinggi di sini.
Katanya lagi, mereka berempat hanya menggunakan perigi di belakang rumah sebagai sumber air memandangkan tiada kemudahan bekalan air paip di rumahnya.