LONDON – Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel mengakui tenang dalam mengharungi fasa baharu kariernya bersama pasukan Aston Martin menjelang saingan perlumbaan Formula Satu (F1) yang akan membuka tirai rasmi pada 26 Mac ini di Grand Prix Bahrain.
Sebagai rekod, Vettel dianggap salah seorang pelumba terbaik dalam sejarah F1 ketika mewakili pasukan Red Bull dan Ferrari sebelum membuat keputusan untuk berhijrah bersama pasukan yang sebelum ini dikenali dengan nama Racing Point itu.
Kata Vettel, membawa nama Aston Martin bersaing dalam kancah F1 memberi prestij tersendiri buatnya memandangkan ini adalah kali pertama jenama itu muncul dalam saingan perlumbaan No. 1 itu sejak era 1960-an.
“Secara jujur, banyak yang perlu saya perbaiki kerana prestasi saya tahun lalu ketika bersama Ferrari adalah yang terburuk dalam karier saya. Namun, saya perlu kekal tenang dan tidak tertekan dalam membuktikan kewibawaan saya bersama Aston Martin,” katanya.
Mengulas lanjut, Vettel mengakui cukup teruja menyaksikan jentera baharu yang diperkenalkan oleh Aston Martin pada saingan 2021 tetapi percayamereka masih belum layak untuk bersaing dengan pasukan elit seperti Mercedes.
“Tiada sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan pada saingan musim ini memandangkan ini adalah kali pertama pasukan serta jentera berwajah baharu. Namun, secara realistik agak sukar buat kami merebut kejuaraan dunia.
“Cuma, saya percaya tiada apa yang mustahil dalam arena perlumbaan dan jika kami berjaya meraih kedudukan tiga pasukan teratas dalam kategori pengeluar pun sudah cukup memuaskan hati pihak pengurusan pasukan ini,” kata pemandu kelahiran Jerman ini. – AGENSI