MELAKA – Seorang mekanik terpaksa ‘gigit jari’ selepas motosikal Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali Ysuku miliknya yang diubah suai sehingga ekzos mampu mengeluarkan api dan bunyi kuda telah ‘diangkut’ ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pagi tadi.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pukul 11 pagi di tepi jalan di Ayer Molek sebelum dibawa ke IPK. Pemuda itu turut dikenakan sembilan saman berjumlah RM2,700 atas pelbagai kesalahan.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Dani berkata, motosikal itu diubah suainya dalam tempoh tiga bulan termasuk menambah prestasi bahan bakar, enjin, mod bunyi motosikal dan kelajuan.
“Saya ubah suai motosikal ini dengan kos keseluruhan RM20,500.
“Saya ubah suai menggunakan pengalaman serta rujukan di YouTube. Saya ada bangunkan perisian dan aplikasi sendiri untuk menambah kelajuan dan mod bunyi,” katanya yang juga bekas penuntut sebuah pusat kemahiran dalam bidang elektronik.
Dani berkata, perisian haram yang dibangunkannya itu turut terjual sebanyak 20 salinan kepada ‘kaki’ motor dengan setiap satunya bernilai RM650.
Sementara itu, Ketua JSPT negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebanyak 912 buah motosikal ditahan dengan 24 buah motosikal disita dan 825 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Ekzos sepanjang empat hari lalu.
Jelasnya, motosikal Ysuku milik mekanik itu adalah yang pertama dikesan dengan mod pelbagai bunyi.
“Motosikal ini sangat ‘istimewa’ kerana ia mempunyai mod pelbagai bunyi termasuk bunyi kuda,” katanya ketika ditemui di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.-K!ONLINE