PETALING JAYA – Selepas beberapa kali menangguh majlis perkahwinan, pasangan pelakon Risteena Munim dan Isa Khan akhirnya memilih tarikh 12 Mac ini sebagai tarikh hari bahagia mereka.
Berita gembira tersebut dikongsi sendiri Risteena dalam satu hantaran Instagramnya hari ini.
“Assalamualaikum kepada semua yang mengenali mahupun tidak, mohon doakan agar urusan ijab dan qabul kami yang akan berlangsung pada 12 Mac depan dipermudahkan,” tulisnya ringkas dalam entri tersebut.
Bagaimanapun, pasangan pelakon itu tidak berkongsi lebih terperinci mengenai hari perkahwinan mereka termasuklah lokasi majlis.
Dalam hantaran tersebut juga, Isa atau nama sebenarnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 28, memberitahu dia juga sudah menghasilkan sebuah lagu khas buat bakal isterinya itu berjudul Karunia Terhbat.
Kosmo! pada 1 Mac lalu melaporkan Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 32, mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang pada bulan ini.
Sebelum ini, Risteena dan Isa merancang untuk mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat murni tersebut berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Pasangan selebriti itu mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 di Bali, Indonesia. – K! ONLINE