KLANG – Rangka Kerja Khas Kawasan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) akan diwujudkan bagi menjamin hak pekerja asing di negara ini untuk mendapat penempatan yang lebih baik.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, langkah itu selaras pindaan Ordinan Darurat Akta 446 (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 yang diwartakan 17 Februari lalu.
Beliau menjelaskan tidak mahu terlalu banyak kuarters pekerja berpusat dibina namun tidak mengikut piawaian ditetapkan oleh kerajaan.
“Saya dimaklumkan banyak pemaju yang berminat untuk membina CLQ, namun tidak mempunyai garis panduan yang tepat bagi membina kuarters itu.
“Jadi saya minta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Asri Ab. Rahman untuk menyediakan rangka kerja ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah CLQ Zon Klang di Jalan Haji Abdul Manan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Saravanan memberitahu, pembinaan CLQ Zon Klang itu akan menempatkan 30,000 pekerja daripada sektor pembinaan dan pengilangan.
Beliau menambah, kuarters berkeluasan 929 meter persegi itu dibina syarikat Titijaya Land Berhad (Titijaya) dan Seri Meraga Group (Seri Meraga).
“Pembinaan CLQ ini menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan hingga setahun,” jelasnya. -K!ONLINE