ARAU – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya tidak memilih mana-mana jenis vaksin yang dibawa masuk ke negara ini kerana semuanya telah diuji selamat dan berkesan.
Beliau berkata, semua jenis vaksin yang telah dan akan digunakan di negara ini sudah diuji oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Jadi tidak perlu tanya vaksin apa, sama ada Pfizer kah atau AstraZeneca kah kerana semuanya sudah diuji.
“Semua sudah diuji oleh NPRA yang mana ia telah disahkan selamat dan berkesan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Kampung Gial di sini hari ini.
Justeru beliau menyeru kepada semua rakyat agar segera mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.
“Lagi awal daftar lagi baik, walaupun terpaksa menunggu giliran, ia akan sampai masanya mengikut jadual,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, kerajaan berharap sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat diberi suntikan pada peringkat awal ini untuk mencapai imuniti kelompok. – K! ONLINE