PETALING JAYA – Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang bermula esok hingga 19 Mac ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 3 Mac lepas, sebanyak 30 kes positif telah direkodkan dan seramai 150 kontak rapat telah dikenal pasti yang melibatkan penghuni kuarters terbabit.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan tersebut.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penghuni kuarters terbabit serta mengesan beberapa lagi kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, PKPD di taman-taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang, akan ditamatkan seperti dijadualkan esok.
“KKM telah melaksanakan 1,573 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 94 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM mengesahkan terdapat penurunan kes serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” ujarnya. – K! ONLINE