KUALA LUMPUR – Penduduk mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian runtuhan jejambat dalam pembinaan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini kelmarin.
Mereka mendakwa kejadian berlaku disebabkan kerangka besi di lokasi Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dibina terlalu rendah dari jejambat konkrit sedia ada.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Arman, 37, memdakwa, pembinaan kerangka besi di lokasi kemalangan itu rendah dari jejambat konkrit sedia ada dengan ketinggian tidak sampai lima meter.
Lelaki itu yang menggunakan laluan itu hampir setiap hari mendakwa, tidak mustahil sekiranya kemalangan itu berpunca daripada struktur kerangka besi sementara dan bukannya disebabkan pemandu treler.
“Kerangka besi sementara yang dipasang pihak SUKE itu tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan menyebabkan kenderaan berat tersebut tersangkut ketika melalui lokasi berkenaan.
“Kami (penduduk) mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci kerana kejadian melibatkan kehilangan nyawa,” katanya di sini semalam.
Menurut kakitangan awam itu, selain aspek keselamatan, penduduk juga menghadapi kesulitan kerana banyak jalan sekitar kawasan itu ditutup pada waktu malam dan menyusahkan mereka sekiranya berlaku kecemasan.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Hakim, 31, mendakwa, rakaman video yang tular menunjukkan kerangka besi itu berada rendah dari jejambat konkrit sedia ada.
“Saya bukannya mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi video itu jelas menunjukkan kedudukan kerangka besi yang dipercayai dibina tidak mengikut piawaian yang sepatutnya,” kata peniaga itu.
Hakim berkata, permukaan jalan di sekitar pembinaan itu juga rosak teruk akibat pembinaan lebuh raya tersebut.
“Banyak jalan berlubang, berlopak dan membahayakan penunggang motosikal,” ujarnya.