TELUK INTAN – Pegawai dan lima anggota polis yang didapati positif dadah selepas ditahan dalam parti liar di Ipoh minggu lalu kini dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan ke atas mereka telah hampir selesai dan mereka dibebaskan selepas tempoh reman empat hari tamat.
“Kita masih menunggu keputusan sampel air kencing mereka dari Jabatan Patologi.
“Sekiranya keputusan ujian itu masih positif mengambil dadah terlarang, kita akan rujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! pada 27 Februari lalu melaporkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota antara 14 individu yang ditahan ketika leka berhibur di sebuah pangsapuri di Ipoh.
Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan saringan awal air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
Ketika berucap pada majlis berkenaan juga, Mior Faridalathrash menegaskan, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam kes salah laku.
Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat.
“Saya dapati, masih ada sebilangan individu yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah seperti mana tangkapan ke atas enam anggota sebelum ini.
“Jika ada yang masih berdegil melakukan kesalahan-kesalahan ini, tindakan tegas termasuk buang kerja atau diturunkan pangkat akan dilakukan,” katanya. -K! ONLINE