PETALING JAYA – Kegiatan seorang lelaki menjual barangan tiruan secara ‘Facebook Live’ sejak lebih dua tahun lalu berakhir apabila premisnya diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam.
Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari KPDNHEP Cawangan Gombak ke atas sebuah premis terletak di Bandar Tasik Puteri, Kundang itu bermula kira-kira pukul 11 pagi.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil serbuan, pihaknya telah merampas kira-kira 200 unit beg tangan dan dompet pelbagai jenis berjenama Louis Vuitton (LV) dan Chanel dianggarkan bernilai RM27,000.
Katanya, serbuan dijalankan berdasarkan maklumat dan aduan daripada wakil pemilik cap dagang serta risikan selama dua minggu telah berjaya menemui premis terbabit.
“Ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia 36 tahun berada di premis yang dijadikan stor penyimpanan itu dan tempat untuknya membuat FB Live.
“Lelaki itu memaklumkan barangan tersebut adalah miliknya dan dia menjual kesemua barangan itu pada harga sekitar RM200 hingga RM50 mengikut gred dan kualitinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zikril berkata, suspek juga mengaku mampu mengaut keuntungan sehingga RM20,000 sebulan hasil daripada jualan secara online dan keuntungan itu meningkat sejak Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.-K! ONLINE