Oleh YATIMIN ABDULLAH
KELANTAN FC sudah bersedia untuk membuat perhitungan dengan Perak FC II pada aksi pembukaan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Pengendalinya, Marko Ragini berkata, beliau sudah mempunyai ramuan untuk menumpaskan Perak FC II berdasarkan kepada dua aksi pramusim yang telah diharungi barisan pemainnya ketika bertemu Terengganu FC II dan Melaka United FC baru-baru ini.
Menurutnya, dua aksi itu memberi petunjuk buatnya untuk memilih bentuk, strategi yang tepat kesebelahan utama untuk menentang pasukan lawan.
“Saya tidak suka mengatakan barisan pasukan terbaik, sebaliknya meletakkan pemain yang lebih berguna untuk perlawanan itu nanti,” katanya kepada pemberita.
Pengendali kelahiran San Marino, Itali itu memberitahu, beliau mahu barisan pemain The Red Warriors (TRW) berjuang habis-habisan untuk mengutip tiga mata pertama pada aksi itu nanti.
Katanya, meskipun tanpa kehadiran penyokong, itu bukan alasan buat barisan Kelantan FC tidak beraksi dengan cemerlang.
Rangini yang memiliki Lesen Pro UEFA memulakan karier kejurulatihannya sejak 1998 dengan menjadi penolong jurulatih San Marino Bawah19 dan 21 tahun dan skuad kebangsaan senior pada 2006.
Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai ketua jurulatih untuk pasukan Dainava Alytus yang beraksi dalam saingan Liga Lithuania 2014 lalu.
Sebelum ke Kota Bharu, Ragini yang berhijrah ke Asia telah dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Liga Mongolia, FC Ulaanbaatar pada tahun 2018. – K! ONLINE