fbpx

Jika, angan-angan tinggi Yaaqub Mahmood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YAAQUB MAHMOOD

MENJADI penyanyi bukanlah impian yang dipendamnya sejak kecil. Dia bahkan tidak pernah terlintas untuk bergelar seorang artis.

Bukannya langsung tiada hati terhadap muzik, cuma nyanyian sekadar hobi sejak di bangku sekolah.

Ironinya, pemilik nama pentas Yaaqub Mahmood itu sejak kecil lagi telah dihantar mengikuti kelas muzik untuk belajar bermain instrumen keyboard, biarpun tanpa kemahuan sendiri.

Mungkin minat terhadap muzik itu masih belum lahir dalam hatinya, pembelajaran muzik terhenti separuh jalan.

KEDENGARAN agak klise, namun Yaaqub mengakui kerjaya sebagai penyanyi bukanlah impiannya sejak dahulu.

“Sejak kecil saya telah disuruh belajar muzik walaupun bukan atas kerelaan saya,” ujar penyanyi berusia 34 tahun itu.

Bagaimanapun, ketika menuntut di sekolah menengah, keinginan terhadap muzik mula timbul apabila Yaaqub menyertai sebuah kumpulan muzik di sekolahnya.

Lama-kelamaan, minat dan keinginan untuk menjadi penyanyi mula timbul. Cuma rezeki masih belum berpihak untuknya menjadi seorang penyanyi.

“Lagi pun keluarga mahu saya habiskan belajar sebelum melakukan perkara yang diminati,” ujarnya.

Mungkin rezekinya menjadi penyanyi tidak hadir sekelip mata. Untuk pekerjaan sepenuh masa, Yaaqub sebenarnya memiliki kerjaya sebagai pereka hiasan dalaman dan memiliki kelulusan dalam bidang seni bina.

Pintu nyanyian lelaki berasal dari Bangi, Selangor itu ke dunia nyanyian terbuka selepas dia muncul dalam program I Can See Your Voice (ICSYV) musim kedua sekitar tahun lalu.

Selepas muncul sebagai peserta dalam program tersebut, Yaaqub dihubungi seorang komposer yang berminat untuk memberikan lagu kepadanya.

“Selepas saya muncul dalam rancangan ICSYV, komposer Arizal Thani telah menghubungi saya menerusi Instagram dan menawarkan peluang untuk merakamkan sebuah single berjudul Jika,” ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu.

SEBELUM muncul dalam ICSYV pada tahun lalu, Yaaqub sebenarnya telah banyak menyertai uji bakat program nyanyian lain.

Ujarnya lagi, Arizal memberitahu bahawa dia tertarik dengan vokal dan tona suara yang dimilikinya dan menawarkan lagu Jika, sekali gus menjadi single pertama Yaaqub.

“Selepas mendengar lagu Jika, saya mengambil masa selama sebulan untuk sesuaikan diri. Mungkin sebab lagu baharu.

“Jadi saya terpaksa mengambil masa yang agak lama. Saya juga perlu melalui beberapa dugaan sehinggalah Jika berjaya direalisasikan,” ujarnya.

Yaaqub turut melahirkan rasa syukur kerana lagu dendangannya bakal dijadikan runut lagu (OST) untuk sebuah drama bersiri terbitan RTM yang akan bersiaran menjelang April nanti.

“Saya juga berharap supaya lagu itu dapat didengari pendengar menerusi radio,” katanya.

Bercakap tentang keseriusan dalam nyanyian, Yaaqub berkata tidak salah jika dia berangan setinggi langit untuk melihat lagu nyanyiannya diterima orang ramai.

“Malu saya nak katakan, tetapi tidak salah jika sekurang-kurangnya lagu itu tercalon sehingga ke semi final Muzik-Muzik suatu hari nanti.

“Untuk sampai ke tahap itu, saya perlu bekerja keras dan tidak ada yang mustahil dalam hidup,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI