Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mahu memastikan Piala Sultan Ahmad Shah akan terus kekal berada di negeri Johor menjelang aksi menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Mora berkata, kemenangan itu amat penting buat skuad Harimau Selatan bagi mengorak langkah positif mengharungi saingan Liga Super musim 2021.
Katanya, dia mahu pertembungan menentang skuad Helang Merah itu dapat ditamatkan dalam tempoh 90 minit tanpa perlu diheret kepada sepakan penalti.
“Walaupun persiapan tahun ini tidak seperti sebelumnya tanpa perlawanan persahabatan di luar negara disebabkan pandemik Covid-19, kami mempunyai alternatif lain untuk mencari keserasian dalam kalangan pemain dan meningkatkan standard permainan pasukan.
“Menjelang pertemuan esok, pemain sudah bersedia sepenuhnya dan mereka lebih tahu apa yang perlu dilakukan pada perlawanan ini.
“Ini adalah perlawanan yang perlu kami menang. Walaupun sudah memenanginya tiga kali berturut-turut sebelum ini, saya tetap anggap ini adalah yang pertama,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam.
Ditanya mengenai penyerang import JDT II, Fernando Rodriguez sama ada diturunkan pada perlawanan esok, pengendali kelahiran Mexico itu engan memberi kata putus sebaliknya menjelaskan, penyerang kelahiran Brazil itu sudah menjalani latihan bersama skuad utama.
“Kita akan tunggu dan lihat sama ada dia akan diturunkan atau tidak memandangkan penyerang lain seperti Ahmad Hazwan Bakri berada pada prestasi terbaik buat masa ini,” katanya.