fbpx

Jangan keterlaluan kecam Sajat – Ustaz Kazim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Kazim (kiri) meminta orang ramai agar menghentikan perbuatan mengecam Sajat (kanan).

IPOH – Masyarakat maya dinasihatkan agar tidak menghukum dengan kata-kata yang kesat dan berbaur kecaman kepada usahawan kontroversi, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman kerana tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan.

Ini kerana perbuatan itu adalah tidak betul selain boleh memberi tafsiran yang tidak elok terhadap agama Islam menerusi kaca mata pihak lain sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, kelakuan warga maya seperti memaki hamun, mencemuh termasuk mendoakan masuk neraka sangatlah keterlaluan.

Menurut beliau, sebagai orang Islam yang bersaudara hendaklah perlu ada perasaan sayang menyayangi antara satu sama lain dengan mendoakan yang baik-baik agar dia diberikan hidayah suatu hari nanti.

“Bukanlah hak kita untuk menghukum orang kerana kita adalah dai (pendakwah) yang mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan dakwah.

“Tegurlah dia dengan berhikmah kerana kita juga tidak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti, hendaknya kita juga diberikan hidayah.

“Lebih baik warga maya menggunakan saluran media sosial untuk perkara yang baik. Jangan pula nanti pihak-pihak lain menuduh Islam sebagai agama ganas dan tiada toleransi disebabkan tindakan sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran menerusi Radio Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut menasihatkan Sajat agar menghadapi kenyataan dengan hati terbuka.

Katanya, usahawan itu perlu kembali kepada fitrah dirinya sebenar sebagai seorang lelaki bukan wanita atau khunsa dan bertaubatlah sementara masih ada kesempatan ini.

Terdahulu, pada Selasa lalu, Sajat menerusi sebuah video yang tular di media sosial menyatakan hasrat secara terbuka untuk keluar daripada agama Islam.

Video yang berdurasi 1 minit 45 saat itu memaparkan luahannya yang seakan-akan mahu menukar agama selepas mendakwa kecewa dengan tindakan orang di sekeliling termasuk dengan apa yang berlaku kepadanya.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang mengesan Sajat bagi melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa lalu. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI